Solat.

Advertisements

Batu Pahat.

LIMA AULIYA DAN SELEMPANG MERAH

Alhamdulillah…

Perjalanan hari ini (9/3/2017), menemukan al-faqir kepada seorang yang luar biasa, namun kehidupannya biasa-biasa sahaja. Nama beliau, Syarif Mohd Jamil bin Syarif @ Raden Hashim bin Syarif @ Raden Muhammad Ali al-Qadri. Menurut jalur sebelah ibunya, beliau adalah cicit kepada Tuanku Engku Sayyid Jaafar ibnu Sayyid Omar al-Qudsy asy-Syami, darah keturunan raja dari Pahang yang silsilahnya bersambung kepada Sunan Gunung Jati. Sebelah bapanya dari jalur keturunan Syarif, al-Qadri al-Hassani.

Engku Sayyid Jaafar adalah merupakan antara individu terawal yang datang ke Parit Lahak, Jalan Parit Jalil, Tongkak Pecah. Baginda hadir ke Batu Pahat ini atas arahan Penghulu Waliyullah di Makkah sekitar tahun 1871 setelah beliau cedera ditusuk keris Aceh. Sebelum sampai ke Batu Pahat, baginda telah berubat ke Yaman, namun tiada siapa yang dapat menyembuhkan. Kemudian baginda ke Makkah sekitar tahun 1865 hingga 1870 dan akhirnya diarah ke Batu Pahat bumi karamah.

Baginda Engku Jaafar adalah guru kepada Wak Kandar yang asalnya seorang lanun berketurunan Raden, datang dari Palembang. Bermula perguruan Wak Kandar dengan Engku Jaafar adalah melalui perkelahian, ketika Wak Kandar bercita-cita menawan Batu Pahat bersama pengikut-pengikutnya.

Pertempuran itu berlaku di Sungai Sarang Buaya, sekitar tahun 1880. Ia bermula apabila Wak Kandar mahu merampas harta orang awam. Engku Sayyid Jaafar datang menghalang dengan penuh ketenangan. Baginda yang bertubuh kurus, hanya diperleceh oleh Wak Kandar. Namun, setelah ditentang, semua tewas tidak terlawan. Akhir permintaan Wak Kandar, kalau benar tuan hebat tidak terlawan, potonglah rambut Wak Kandar yang panjang. Katanya, tiada siapa yang mampu memotongnya, walau orang sehebat apa. Baginda Engku Sayyid cuma bersahaja, kerana yang disuruh hanyalah memotong rambutnya. Katanya, itu semua kuasa Yang Maha Esa, tiada mampu yang menghalangnya. Dipotong rambut Wak Kandar hanya dengan jarinya. Maka, tertunduklah Wak Kandar, tanda kalah dan beralah. Beliau akan turut apa sahaja perintah. Baginda Engku Sayyid berkata, kalau engkau benar mahu berubah, bertaubatlah engkau kepada Allah. Duduklah mohon maghfirah, di tebing sungai ini hingga aku datang semula ke sini. Bertahun lamanya Wak Kandar beruzlah, kemudian baru dibawa ke Kampung Lahak, diajar segala ilmu yang amat mustahak. Akhirnya jadi Wak Kandar seorang auliya.

Encik Syarif Mohd Jamil kongsikan begitu banyak cerita, tak sempat al-faqir kutip semua. Antara yang beliau cerita, seorang wali Allah yang panjang usia, namanya Sayyid Sayyidi atau orang memanggilnya Kiyai Sayyidi. Umurnya panjang hingga mencapai 260 tahun. Beliau antara individu awal membuka Solok Wan Moh yang memang asalnya adalah tempat orang bersuluk. Besar madrasah dan kawasan suluknya. Beliau meninggal dunia sekitar tahun 1993 dan katanya masih ramai lagi muridnya yang masih hidup di Batu Pahat.

Di Olak Batu pula ada Kiyai Isror namanya. Masih ada lagi kolam peninggalannya di Masjid Jamek Kampung Batu. Airnya tak pernah surut walau kemarau melanda, tidak pernah melimpah walau hujan dan bah.

Waktu perang melawan cina bintang tiga antara 1938 hingga 1942 sebelum kemasukan Jepun ke Tanah Melayu, beliau bersama rakannya Tuan Guru Haji Mokhtar pernah hadir ke zawiyah muridnya; Kiyai Habib Saleh di Parit Bandan atas jemputan muridnya tanpa menaiki apa-apa kenderaan, sekitar awal tahun 1942, iaitu beberapa minggu sebelum serangan orang-orang Melayu kepada pihak Komunis Cina Bintang Tiga. (Nota: Kiyai Habib Saleh datang ke batu pahat sekitar 1918 hingga 1925 atas arahan ayahnya seorang guru pondok dari Tanjung Karang).

Mereka berdua bergabung tenaga mempersiapkan pelbagai persiapan menghadapi tentera Bintang Tiga. Tuan Guru Haji Mokhtar menyediakan sehelai selempang merah bertulisan tangan berserta kendit hitam berisi al-Quran Turki. Kemudian beliau lemparkannya ke bumbung rumahnya dan dengan izin Allah jua, ia menghasilkan ribuan selempang merah bersulam kemas, berserta kendit hitam berisi al-Quran. Peristiwa karamah ini, disaksikan sendiri oleh ayahanda Encik Syarif Jamil yang beliau turut memungutnya. Beliau ditugaskan mengendong dan membawa Tuan Guru Haji Mokhtar semasa perang melawan Bintang Tiga.

Sejarah selimpang merah bermula dari isi kitab berencong yg ditulis oleh Syeikh Sammaniyyah Habib Abdul Karim al-Qadri al-Hassani dari kerabat kesultanan Sulu, yang membuka asas kerajaan Pontianak, terkemudian di sambung oleh keturunan beliau Syarif Abdul Rahman al-Qadri yang mana Syarif Abdul Rahman berkahwin dgn puteri Raja Haji pahlawan bugis yang ternama. Engku Sayyid Jaafar juga pernah melemparkan ke lantai rumah beliau, dengan izin Allah jua, ia menghasilkan ribuan selempang merah.

Manakala Kiyai Isror menyediakan setempayan air yang dibacakan surah Yasin. Sekalian pahlawan yang telah siap memakai selempang merah Tuan Guru Haji Mokhtar, akan meminum air yasin dari tempayan kecil yang disediakan Kiyai Isror. Airnya tidak pernah kekeringan, walau seramai mana menghirupnya. Demikian juga selempang merah buatan Tuan Guru Haji Mokhtar, tidak pernah kehabisan diberikan pada tiap pahlawan. Sesiapa yang meminum air di tempayan, akan menjadi lupa. Siapa yang memakai selempang merah, akan menjadi berani dan gagah. Demikian kuasa Allah pada mereka yang rapat hatinya pada Yang Maha Perkasa.

Serangan dipecahkan kepada beberapa bahagian. Dari sebelah Parit Bandan, Olak Batu, Sungai Rambut, gerakan diketuai oleh Tuan Guru Haji Mokhtar dan Panglima Bahaman (dari Gunung Semanggol yang datang ke Batu Pahat bersama Panglima Ijam sekitar tahun 1933), manakala dari sebelah kawasan Parit Sulong, Sri Medan, Batu Pahat, di ketuai oleh Kiyai Haji Habib Salleh dan Panglima Ijam (kiyai ijai@ijoy)

Tuan Guru Haji Mokhtar al-Qadri berasal dari Pontianak Indonesia. Beliau bermastautin di Sungai Semberong. Peristiwa Tuan Guru Haji Mokhtar berjalan atas air menyeberang Sungai Semberong, mengangkat air menggunakan raga rotan untuk tujuan berwuduk, pada zaman itu, memang lazim disaksikan penduduk sekitar. Antara karamah beliau, setiap kali hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, beliau lazim memberi sedekah dari uncang hitam, seramai mana jemaah yang hadir solat hari raya itu, mereka semua mendapat bahagian pemberian beliau tanpa satu pun yg tertinggal. Begitu juga mereka yang berada dalam kesusahan. Apabila menemui beliau untuk mendapatkan bantuan wang, beliau memberi secukupnya, tak lebih tak kurang. Namun tiada siapa mengetahui dari mana wang yang beliau keluarkan dari uncang hitamnya.

Baik Tuan Guru Haji Mokhtar, Kiyai Isror atau Kiyai Habib Saleh, ketiga-tiga mereka, memakai jubah luar (mantel @ jubah layang) berwarna hijau, berjubah sebelah dalam berwarna putih.
Kiyai Habib Saleh juga dikenali sebagai Kiyai Janggut Putih oleh orang-orang Batu Pahat, berikutan janggutnya panjang, lebat dan berwarna putih, panjangnya hingga ke bawah dada.

Mereka, Tuanku Engku Sayyid Jaafar, Tuan Guru Haji Mokhtar, Kiyai Isror dan Kiyai Haji Habib Saleh, semuanya membawa toriqoh Qodariyah Naqsyabandiyah wa Samaniyyah yang berpegang dengan Ahlussunnah walaupun jamaah dengan jalan sifat 20, tauhid af’al, tauhid al-Asma’ dan tauhid al-Dzat.

Ramai lagi Kiyai yang ada sekitar Batu Pahat ini sebagaimana arwah bapanya sampaikan. Cuma sudah banyak yang tidak lekat dalam ingatan. Antaranya lagi, ada yang bernama Kiyai Saleh juga dari Sri Medan, Kiyai Ismail Kolam Air Batu Pahat (murid kepada Kiyai Sayyidi). Di Sungai Rambut juga ada namanya Kiyai Nawi dan ada beberapa lagi.

Moga Allah cucuri rahmat-Nya buat sekalian para Wali, Kiyai-kiyai dan alim ulamanya di bumi Batu Pahat yang sangat berkat.

Wallahu a’lam.

Sumber: FB AmliIlma
#BatuFahatBumiKeramat